Bismillah....

Dua minggu lepas, dapat juga aku bercuti balik ke kampung suami.  Kg Tengah, Kuala Rompin, Pahang.  Sangat seronok dapat menghirup udara laut.  Rumah "Ibu Mertuaku" berhadapan dengan Pantai Hiburan yang terkenal di Kuala Rompin.  Bukanlah sebab hendak mandi laut tetapi apabila tengok laut, hati kita akan tenang.... Cer cuba... 

Dalam perjalanan, sempat singgah di Mersing beli "kepok" kata orang Pantai Timur.  Singgah di kedai "Kak Mah" (merangkap sedara), tokey kedai "Keropok Othman Puteh".  Keropok-keropok yang dijual di sini memang sedap-sedap belaka.  Sama seperti keropok "Ganu" kerana tokeynya pun berasal dari Terengganu.  Banyak juga yang aku beli buat buah tangan ke Rompin dan Kuala Lumpur.  Keropok lekornya pun "Power" dan memang terasa ikannya, bukan tepungnya.  Selepas memborong keropok, berdesuplah kami ke Rompin.  Ibu mertuaku tinggal seorang di rumah.  So, bila anak lelaki kesayangannya balik, sure la berborak tak habis-habis.  In sya Allah, membahagiakan ibu, bahagialah kita.  Petang tu kononnya "Mr Hubby" nak ajak pergi menjala tetapi memandangkan air laut yang tidak begitu cantik, simpan sahajalah niat tu.  Kami cuma jalan-jalan di tepi pantai...

Keesokan paginya, seawal 7:30 pagi, kami bertolak ke KL, singgah di Kuantan menghantar ibu mertuaku ke rumah anak perempuannya.  Dalam perjalanan, Mak Wan (panggilan untuk ibu mertuaku) berceloteh panjang.  Dia memang suka bercerita sampailah masuk ke bab asal-usul keturunannya.  Nilah yang best.

Menurut cerita Mak Wan, keturunannya berasal dari Kepulauan Riau, Indonesia.  Bermula daripada "cakawari" (datuk kepada moyang).  Setelah si isteri meninggal dunia, si suami dan anak perempuannya melarikan diri ke Temasek, yang sekarang di panggil Singapura.  Tahunnya, aku tak ingat sebab Mak Wan pun tak tahu. Hihihihi.... Mereka melarikan diri kerana tidak tahan dengan cukai Kerajaan Belanda yang pada ketika itu memerintah Kepulauan Riau.  Cukai yang dikenakan amat tinggi.  Ramai orang tempatan melarikan diri.  Apabila tiba di Temasek, mereka dapati tempat itu tidak sesuai untuk dijadikan penempatan kerana ketika itu Temasek merupakan tempat orang menanam padi.  Sekali lagi mereka belayar terus ke Sungai Dulang, Pekan, Pahang.  Setiba di sana, mereka berasa sesuai dan mengambil keputusan untuk menetap di situ.  Pekan adalah kawasan Istana dan sehingga ke hari ini ia dipanggil Bandar Di Raja Pekan.  Sang ayah meneroka tanah dan bekerja di laut dan si Dara bercucuk tanam sehingga mendirikan rumahtangga.  Dengan kemahiran yang ada pada dirinya, si Dara telah dilantik menjadi Bidan Istana.  Tinggallah mereka di Pekan dan meluaskan empayar sendiri sehingga ke Rompin.  (Bunyi dah macam ceita sejarah dalam buku).

Semasa Mak Wan bercerita, aku dapat membayangkan keadaan suasana pada masa itu. Lebih-lebih lagi kami sedang berhenti bersarapan di Pekan.  Bandar Di Raja Pekan ni memang banyak sejarahnya,  Makam salah seorang Kesultanan Johor pun ada di sana.   Dulu masa sekolah, tidaklah minat sangat dengan subject Sejarah ni tapi bila dah jadi remaja purba ni, suka pula mencungkil sejarah-sejarah lama.  Rugi tak tahu sejarah tentang negara sendiri, terutamanya generasi muda sekarang... Nanti aku sambung cerita tentang asal usul Johor pula....

Stay positive.... Stay happy...... Stay cool...... Assalamualaikum...




Inilah gambar Pantai Hiburan Kuala Rompin, Pahang