TRIP TO KUANTAN - KUALA TERENGGANU - KUANTAN
8/11/2019 - 10/11/2019 (DAY 3)

Hari ini hari terakhir trip ‘cik kak-cik kak’.  Malam terakhir kononnya nak berjaga sampai pagi, nak sembang panjang-panjang, ala-ala ‘anak dara’.  Tapi kederat dah habis dik oi!  Umur-umur ‘Kilauan Emas’ ni perlu tidur secukupnya.  (Pada hal mata dah rabak). 

     Tapi satu bab yang aku ‘respect’ bila diusia remaja purba ni.  Bangun awal setiap pagi!  Tidak ada lagi nak bangun jam 9 ke, 10 ke.  Jadi, anak-anak muda di luar sana, contohilah kami ni - tidur awal, bangun pun awal.

     Seperti hari semalam, kami bersarapan di Cafe Adena.  Boleh tahan ramai juga pengunjung hari ini.  Kali ini kami makan sambil bersantai sebab masa untuk ‘check-out’ lambat lagi.  Niat di hati nak berendam dalam kolam tapi terpaksa batalkan niat sebab tidak mahu mengeruhkan lagi air dalam kolam tersebut.  

     Lastly, kami ambil kesempatan untuk ber’posing’ di pantai Adena.  ‘Posing’ lagi!! 

     “Kau tak puas-puas ke kak, berposing ??”

    “Bila lagi dik oi!  Bila lagi kami dapat bergumbira-ria dengan kawan-kawan ni.  Mohon jangan jeles ye!”

     Habis segala orang yang lalu-lalang, kami panggil untuk merakamkan gambar kami.  Jurugambar profesional pula masih beradu.  Penat gamaknya dengan ‘job’ semalam.


“Laju, laju buaiku laju......”





     Penat bermain air, kami berehat di bilik sambil mengemas beg.  Masing-masing sudah tidak sabar nak menggayakan ‘busana’ hari ini.  Beriya-iya menggosok ‘busana’ tajaan sendiri.  Selesai berkemas, sebelum meninggalkan chalet, sempat lagi!!





     Selepas ‘lunch’ di Pekan Balok, kami terus ke Pantai Balok.  Begitu gigih kami ber’posing’ di bawah terik matahari, tepat jam 12 tengah hari!  Pemandangan yang cantik menambahkan rasa keterujaan kami.  

     Pantai Balok sangat unik dengan keindahannya yang tersendiri.  Ada beberapa buah chalet comel dan berwarna-warni untuk disewa oleh para pengunjung.  Terdapat juga tapak perkhemahan bagi mereka yang berminat untuk berkhemah di bawah pohon-pohon ru yang tinggi melambai-lambai ditiup bayu laut.  Kami hanya sempat bergambar di bawah pohon ceri memandangkan kulit masing-masing sudah seperti udang kena bakar.









     Puas bersantai di pantai, destinasi terakhir sebelum kami pulang adalah Muzium Sungai Lembing.  Jaraknya agak jauh juga dari Pekan Balok, anggaran dalam 45 minit pemanduan.  Dengan kata sepakat, kami teruskan perjalanan.

     Namun, kita hanya mampu merancang.  Lagi 15 minit untuk sampai ke lokasi, tiba-tiba kedengaran seperti ada benda meletup pada kereta yang kami naiki.  Tetapi kami tetap ‘cool’ dan boleh agak ada sesuatu yang tidak kena dengan tayar kereta.  Kami berhenti di bahu jalan diikuti dengan kereta nombor 2 dan 3.

     ‘Salute’ lah akak-akak kita ni.  Tiada sesiapa pun yang panik.  Masing-masing menggunakan kepakaran tersendiri untuk menenangkan suasana.  Yang paling best, ‘cik kak’ seorang ini terpandang seseorang sedang membetulkan tayar di hadapan rumah.  Tunggu apa lagi!  Terus dia beri salam dan mohon pertolongan.  Tidak sampai 5 minin, datanglah ‘Mr Macgyver’ dengan beg ajaibnya membantu kami.  Alhamdulillah, Allah swt adalah sebaik-baik perancang.  Dia menurunkan seseorang untuk membantu kami.



     Kami terpaksa membatalkan program ke Muzium memandangkan waktu dan keadaan yang tidak mengizinkan.  Kami perlu ke kedai tayar berhampiran untuk mengganti tayar ‘spare’ kepada tayar baharu atas faktor keselamatan.

     Syukur alhamdulillah sekali lagi kerana kami berada dalam keadaan yang selamat dan saling bantu-membantu.  Senang sama-sama, susah pun kami tetap bersama.  Kasihan juga kepada para jurugambar yang setia bersama kami dalam apa juga keadaan.  Sebagai tanda terima kasih, kami ikut kemahuan mereka untuk menjamu selera di ‘McDonald’!

     Siapakah gerangan jurugambar-jurugambar tahap ‘world’ ni?  Mereka adalah anakanda-anakanda kami yang sangat-sangat ‘sporting’ merakam gambar ibu-ibu mereka tanpa mengeluh sedikit pun.  Malah, ikut sama teruja melihat ibu-ibu mereka beraksi.  Terima kasih anakanda Nur, Aini, Aila dan Dayah.  Sayang kamu semua dan kami mendoakan semoga kalian sentiasa dalam lindungan Allah swt.  Aamiinnn...



     Settled makan, masa untuk pulang!  Hati berat nak meninggalkan kawan-kawan setelah tiga hari bersama.  Namun, apakan daya, masing-masing ada tanggungjawab dan keluarga.  Tapi!  Tetap tidak putus asa lagi.  Masa yang ada perlu dimanfaatkan sepenuhnya.  Jom “menyendol” di Pekan!



Wajah-wajah kepenatan

     Setelah menunaikan solat Asar, kami meneruskan perjalanan pulang.  Alhamdulillah perjalanan lancar dari Kuantan - Pekan - Rompin.  Hujan lebat, petir dan guruh menyambut kami di Mersing dan berlarutan sehingga ke Pekan Jemaluang.

     Tabik kepada para pemandu kami yang gigih memandu agar perjalanan kami selamat.  Tuan-tuan Besar sudah sibuk menelefon.  Jika ikut plan asal, kami dijangka sampai jam 7 malam.  Ini sudah terlajak beberapa jam.  Biasalah, rombongan ‘cik kak-cik kak’ lah katakan.  Akhirnya, Alhamdulillah kami selamat sampai ke ‘Home Sweet Home’ dalam lingkungan jam 11 malam dengan satu perasaan dan memori yang terpahat dalam hati dan minda.  Tak boleh ‘move on’ beb!

     Percutian ini sungguh bermakna untuk kami.  Walaupun bukan percutian di luar negara atau percutian ala-ala mewah, masa yang diluangkan bersama amat dihargai.  Ketika inilah kita dapat mengeratkan tali persahabatan yang terputus seketika akibat kekangan masa, keluarga dan tanggungjawab.  Susah dan senang bersama, sikap tolak ansur di antara kami, memberi satu memori yang indah buat kami.  Semoga persahabatan ini kekal hingga akhir hayat.

     “Persahabatan tidak terjalin dengan seseorang yang istimewa.  Namun kita jadi istimewa kerana bersahabat”.




     Sudah pasti percutian ini tidak akan terhenti di sini.  Kita tunggu “Percutian Geng Sekolah” akan datang!

     Take care girls! 💖💖

Stay happy...... Stay positive...... Stay cool....... Assalamualaikum....